Tuesday, December 28, 2010

Tudung

Jemputan walimah bulan ini memang banyak, tetapi ana tidak begitu teruja untuk pergi kesemuanya. Bukannya tidak mahu meraikan rakan-rakan dan saudara-mara tetapi agak 'sakit mata'. Mengapa? Kebanyakan pengantin perempuan bertudung tetapi tidak betul-betul menutup aurat. Tudung dimasukkan ke dalam baju, menampakkan bentuk leher dan dada. Ah, rimas!

Itu belum lagi kes bernikah pakai tudung, bersanding tudung hilang entah ke mana seperti yang disebut dalam artikel ini.

Wednesday, December 22, 2010

Tambak


Sewaktu ana kanak-kanak dahulu, kawasan Tambak di Pontian sekarang penuh dengan pokok-pokok bakau. Airnya jernih, ikan berenang-renang bebas.

Namun kini kawasan itu ditambak untuk tujuan komersial dan dijadikan kawasan rekreasi yang ditanam dengan pepohon rhu. Ana rasa kurang gemar dengan wajah barunya. Apakah tembok-tembok binaan manusia itu lebih baik dari kawasan pokok bakau? Iyalah, Allah ciptakan pokok-pokok itu sebagai penghadang semulajadi.

Mungkin ana 'old school', sama dengan orang-orang lama Pontian yang lebih suka dengan pokok-pokok bakau.




Monday, December 20, 2010

Hujan



Musim tengkujuh begini, ana sering teringat lagu Mercy Like the Rain nyanyian kumpulan SHAAM. Antara rangkapnya yang paling melekat adalah rangkap ini:

Mercy like the faith that shines within us
Mercy like the prayers that Allah answers
How it gives purpose to our lives
Helping us strive for paradise


Awal-awal mendengar, ana anggap biasa sahaja tetapi kemudian baru faham bahawa baris Mercy like the prayers that Allah answers (Rahmat seperti doa yang dikabulkan Allah) itu ada kaitannya dengan hadis nabi.

Hadis itu menyebut bahawa antara waktu yang mustajab doa seseorang ialah ketika hujan mulai turun;

"Carilah terkabulnya doa pada saat bertemunya dua pasukan, saat solat didirikan, dan saat turun hujan."

Imam al-Syafi'i berkata, "Aku telah mendapati banyak orang yang mencari terkabulnya doa pada saat turun hujan dan pada saat solat didirikan."

Lafaz doanya ialah :
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksud : Ya Allah, jadikanlah ia hujan yang bermanfaat.( Riwayat Imam al-Bukhari).

Dalam riwayat Sunan Ibnu Majah, baginda s.a.w mengucapkan sebanyak dua atau tiga kali.

Wallahu'alam

Friday, December 17, 2010

Musim Kenduri

Cuti hujung tahun begini biasalah banyak juga jemputan walimah yang ana dapat. Rakan-rakan dan saudara-mara sendiri pun ramai juga. Rakan-rakan ana kebanyakannya memang sudah lama menjemput dan beberapa kali mengingatkan supaya datang. Semuanya memang teruja untuk ke hari bahagia mereka dan sangat berharapa sahabat-sahabat datang meraikan.

Namun, dalam ramai-ramai rakan ana yang hendak bernikah ada juga seorang yang nampaknya tidak begitu teruja. Malah, dia nampak agak runsing dan langsung tidak mengingatkan ana tentang tarikh nikahnya. Kad pun tidak diberi sedangkan ana selalu melepak mendengar luahan hatinya.

Mungkinkah kerana dia sudah begitu lama bercouple dengan wanita itu maka dia sebenarnya sudah 'bosan'? Semacam hilang seri dan manisnya, buat ana berbolak-balik hendak pergi atau tidak ke majlisnya nanti.

Thursday, December 9, 2010

Hantaran & Dating

Zaman sekarang selalu kedengaran orang-orang bujang mengeluh tentang hantaran mahal. Pihak yang selalu dipersalahkan adalah kononnya keluarga yang 'menjual anak' dan trend masyarakat yang berlumba-lumba meletakkan hantaran yang tinggi.

Namun apabila dilihat dari sisi yang lain, lelaki-lelaki bujang ini kebanyakannya berdating. Mungkinkah dengan berdating ini memberi gambaran palsu keupayaan ekonomi mereka? Iyalah, bawa makan ke tempat sedap-sedap, hadiah mahal-mahal, baju cantik-cantik.

Mungkin sebab itu harga hantaran naik. Mungkin juga dengan berdating itu menghabiskan duit yang patutnya boleh disimpan untuk membayar hantaran.

Wallahualam